KUCHING, 23 Nov: Kerajaan Sarawak dicadang menubuhkan hab inovasi digital bagi menyokong pembangunan belia di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, inisiatif itu penting bagi menyokong belia terutamanya yang mengasaskan syarikat pemula (start-up).
Kata beliau, pada masa akan datang, Malaysia akan bergantung kepada ekonomi belia serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Menerusi kemudahan ini, belia dapat dibantu dengan adanya tapak atau pejabat berkonsepkan perkongsian yang membolehkan mereka menubuhkan syarikat sendiri dan terlibat dalam ekonomi baharu.
“Pada masa sama, saya mencadangkan agar Kerajaan Sarawak dapat mempelbagaikan inisiatif untuk memberi dana sokongan kepada start-up ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, hab berkenaan juga akan mendukung hasrat kerajaan dengan memastikan operasi mereka berasaskan konsep kelestarian alam sekitar seperti ditekankan oleh Kerajaan Sarawak. -TVS