KUCHING, 23 Nov: Laluan transit aliran autonomi (ART) jajaran Serian ke Bandaraya Kuching bakal membangunkan sosioekonomi kawasan Stakan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata jajaran berkenaan akan merentasi institusi pengajian tinggi (IPT) utama di Sarawak iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Maktab Perguruan Tun Razak.
Menurut Len inisiatif berkenaan akan menyaksikan Stakan termasuk antara komponen penting dalam membangunkan perkhidmatan awam terbaik di Bahagian Samarahan.
Beliau juga mendedahkan kawasan (Dewan Undangan Negeri) DUN Stakan akan mengekalkan peranan utamanya sebagai pusat kediaman untuk komuniti tempatan, yang disokong empat sektor utama termasuk perniagaan runcit, komersial, perindustrian dan perkhidmatan.
“Yang kedua, kawasan pembangunan baharu perlu dikenal pasti bagi membolehkan pembangunan yang terancang dan seimbang.
“Selain itu, kedudukan DUN Stakan yang strategik yang terletak di antara Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan yang pesat membangun, akan mendapat limpahan pembangunan terutama dalam sektor pembuatan dan komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim dalam Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Len dalam pada itu menambah kerajaan negeri kini sedang melaksanakan kajian pelan induk Samarahan 2020-2030 yang bertujuan untuk merangka strategi pembangunan sosioekonomi yang komprehensif.
“Ia selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk membangunkan sosioekonomi di bahagian Samarahan yang berteraskan tiga tunjang utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Pembangunan di kawasan Stakan juga termasuk dalam peringkat Draf Laporan Akhir dan dijangka siap pada suku pertama 2024,” ujar beliau lagi. -TVS