Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata perkara itu adalah berdasarkan rekod pemilikan tanah FLC pada tahun 2019 dan semakan pembangunan tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).. Foto: TVS

DUN: 38 lot tanah FLC untuk sekolah, tidak dibangunkan

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 23 Nov: Sebanyak 38 lot tanah milik Suruhanjaya Tanah Persekutuan (FLC) berkeluasan 174 hektar untuk tujuan membangunkan sekolah tidak dibangunkan kemudahan berkenaan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata perkara itu adalah berdasarkan rekod pemilikan tanah FLC pada tahun 2019 dan semakan pembangunan tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Sejak tahun 2022, kerajaan telah melaksanakan dasar baharu di mana setiap tanah yang telah diberi milik kepada FLC akan dikenakan syarat khas pembangunan yang perlu dilaksanakan dan perlu disiapkan dalam tempoh lima tahun dari tarikh surat hak milik dikeluarkan.

“Sekiranya pembangunan tersebut gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, tanah tersebut perlu dikembalikan kepada Kerajaan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Mengulas mengenai tapak lama Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin yang telah dirobohkan, beliau berkata pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) sedang menyelaras proses penyerahan semula tapak tersebut kepada Kerajaan Sarawak.

“Bangunan tapak lama SK Beladin dirobohkan untuk membina kemudahan awam seperti padang, trek larian, surau, tandas awam dan grandstand.

“JPNS kini sedang berusaha untuk mengatur proses penyerahan semula tapak berkenaan kepada Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) memandangkan tiada perancangan pembangunan institusi pendidikan di tapak itu pada masa hadapan,” ujarnya.

Manakala bagi tapak SK Pusa pula, memandangkan kesemua lot masih digunakan, maka FLC tidak merancang untuk menyerahkan kesemua lot kepada Kerajaan Sarawak.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak juga telah menetapkan bahawa mana-mana sekolah yang didirikan di atas tanah milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), akan diberi hak milik kepada FLC melalui proses pemutihan dan pengambilan balik tanah, selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian IV Kanun Tanah Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan