TANJUNG MANIS, 23 Nov: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas keluar untuk mencari kayu bakau di kawasan Umek-Selayar, Batang Paloh, semalam.
Beliang Ajah, 53, dipercayai ke kawasan yang terkira-kira 30 minit perjalanan menaiki bot dari Rumah Panjang Berangan itu keluar seorang diri sebelum dilaporkan tidak kembali ke rumahnya hingga lewat petang.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, isteri mangsa yang bimbang dengan keselamatan suaminya bergegas mendapatkan bantuan orang kampung untuk melakukan pencarian.
“Kebiasaannya Beliang tidak membawa bekalan dan pulang ke rumah sebelum tengah hari mengikut pasang surut air di lokasi berkenaan.
“Seramai 20 penduduk yang menggunakan lima buah perahu berusaha mencari mangsa namun gagal sehingga terpaksa menghubungi pasukan keselamatan pada jam 6.35 petang untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bergegas ke Kampung Berangan untuk mendapatkan maklumat lanjut kejadian tersebut.
“Memandangkan hari semakin gelap dan hujan, operasi pencarian terpaksa ditangguhkan dan bermula hari ini,” katanya.- TVS