SERIAN, 23 Nov: Lebih 300 peserta tempatan dan luar negara memulakan cabaran untuk menawan trek di pedalaman wilayah ini sempena Jambori 4×4 Antarabangsa Sarawak Edisi Keenam hari ini.
Kumpulan berkenaan menaiki 146 kenderaan pacuan empat roda telah dilepaskan pagi tadi di Serian Conference Centre oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
Jambori ini yang dianjurkan 4×4 Travel & Adventure Club (SAKTA) disertai peserta Malaysia, Brunei,Indonesia, Britain,Jerman, Kanada dan Switzerland.
Presiden SAKTA, Jirram Gima berkata, jambori ini bakal menguji ketahanan fizikal dan mental peserta menerusi trek yang mencabar.
“Namun kami tetap mengetengahkan keindahan alam semula jadi di pedalaman Sarawak.
“Oleh itu, panganjur memilih ‘Southern Thrills, Rugged Redefined’ sebagai tagline acara pada tahun ini,” katanya kepada TVS hari ini.
Sementara itu beliau memberitahu, acara yang berlangsung selama empat hari tiga malam ini akan melalui lima ‘winching point’ dan akan berhenti berehat di tiga lokasi iaitu di persekitaran sungai serta puncak bukit.
“Acara ini membuka peluang kepada peminat pacuan empat roda untuk berkongsi keghairahan mereka melalui trek lasak serta menikmati ketenangan alam semula jadi, budaya dan tempat bersejarah di Sarawak yang masih kurang diterokai kerana kesukaran memasuki kawasan itu,” katanya.
Jambori 4×4 Antarabangsa Sarawak 2023 akan melalui Serian, Simunjan dan Pantu.- TVS