Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir pada Majlis Pembukaan CAFEO-41 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali hari ini. Foto.Ameerul Syafiq Khir.

Sarawak mahu bekerjasama dengan Indonesia bangunkan pelabuhan tengah laut – Abang Johari

BySheera Abang Mansor

BALI, 22 Nov: Kerajaan Sarawak berminat untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi membangunkan sebuah pelabuhan baharu yang moden di tengah laut, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, mengikut perancangan awal, Tanjung Embang merupakan kawasan yang sesuai untuk dilaksanakan projek itu yang berimpak tinggi kepada ekonomi Sarawak.

Jelas Abang Johari, pelabuhan tersebut kelak akan dibangunkan dengan teknologi berbeza berbanding kaedah konvensional.

“Saya hendak beri bayangan, ia (pelabuhan baharu) akan dibangunkan di tengah laut kerana kita (Sarawak) mempunyai pantai yang gradient, jadi kita perlu mempunyai sebuah pelabuhan dalam yang akan memberikan ruang kepada kapal-kapal untuk singgah.

“Selain itu, (pelabuhan berkenaan) akan berfungsi untuk pembangunan kluster membabitkan kargo minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pembukaan Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN ke-41 (CAFEO-41) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Dr. Ir. M. Basuki Hadimuljono, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Setiausaha Sulit Kanan Kepada Premier Sarawak, Dato Khir Busrah.

Majlis Pembukaan CAFEO-41 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali ini menghimpunkan lebih 1,000 delegasi dari Indonesia, jurutera ASEAN dan wakil antarabangsa.

Sementara itu, Abang Johari turut berkongsi ciri istimewa pelabuhan berkenaan.

“Pelabuhan canggih ini akan mempunyai kluster khusus untuk mengendalikan kargo dan pada masa sama berfungsi sebagai hab minyak dan gas.

“Ini seterusnya akan melonjakkan kemampuan Sarawak dalam perdagangan minyak dan gas,” katanya.

Menurut Abang Johari, lokasi strategik Sarawak dan Indonesia juga mampu meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi kedua – dua belah pihak.

Mengulas lanjut perancangan berkenaan, Abang Johari berkata, usaha membangunkan pelabuhan laut dalam itu merupakan sebahagian daripada pelan Sarawak untuk membangunkan Dasar dan Hala Tuju Ekonomi Biru Sarawak (SBEP).

Abang Johari bakal terima Anugerah Kejuruteraan ASEAN pada CAFEO-41 di Bali

Beliau berkata, SBEP merangkumi pelbagai aktiviti ekonomi yang bergantung kepada produktiviti laut dan pantai.

“Ini termasuk perikanan, akuakultur, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan perkapalan,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan