KUALA LUMPUR, 22 Nov: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa permohonan oleh guru yang memilih bersara pada usia 55 tahun untuk menyambung perkhidmatan sehingga usia 60 tahun tidak boleh dipertimbangkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ia selaras dengan Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 2011 yang menjelaskan semua opsyen yang telah dibuat oleh pegawai adalah muktamad dan tidak boleh dipinda.
“(Ini kerana) pegawai perkhidmatan awam lantikan tetap sebelum 1 Januari 2012 telah ditawarkan opsyen umur persaraan sama ada 55 tahun atau 56 tahun atau 58 tahun atau 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (Pakatan Harapan – Rasah) di Parlimen di sini, hari ini.
Hui Ying berkata, bagi pegawai perkhidmatan awam lantikan tetap pada atau selepas 1 Januari 2012 pula, persaraan adalah apabila mencapai umur 60 tahun.
Dalam pada itu, Hui Ying turut menjawab pertanyaan berhubung jumlah guru yang dikategorikan sebagai “guru sakit” di Seremban.
Menurutnya, seramai enam orang guru mengalami masalah kesihatan berpanjangan dan telah diperakukan oleh pegawai perubatan bahawa mereka tidak boleh menjalankan tugas.
“Selain itu terdapat tujuh orang guru mempunyai kes jenayah dan masalah tatatertib yang ditempatkan di dalam jawatan kumpulan atas kepentingan perkhidmatan,” katanya lagi. -TVS