KUCHING, 22 Nov: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan menganjurkan Borneo Youth Summit 2024.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, ia akan melibatkan belia Malaysia, Brunei dan Indonesia.
“Kita percaya program berkenaan adalah penting di dalam mengasah bakat kepimpinan di kalangan belia di samping meningkatkan semangat perpaduan. Sehubungan itu, pihak kementerian akan melaksanakan program berbentuk berkenaan di peringkat antarabangsa di masa hadapan melalui Borneo Youth Submit 2024 melibatkan belia Malaysia, Brunei dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, kementeriannya juga telah melaksanakan Program Sarawak Johor Sabah (SJS) Youth Exchange 2023 yang melibatkan 45 pemimpin belia di ketiga-tiga wilayah.
Katanya, ia sebagai usaha untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan belia Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, pihak kementerian juga telah merancang beberapa program bagi meningkatkan kemahiran dan kepimpinan belia di kawasan Tellian.
“Antara program yang dirangka dilaksanakan di Bahagian Mukah yang turut melibatkan belia dari kawasan Tellian adalah seperti Program Belia Kasih Ramadhan (12 April 2023), Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi (7-8 Jun 2023), Youth Got Skills @ Mukah (17-18 Jun 2023) dan MYSED Go University (9-10 Disember 2023),” ujarnya. -TVS