KUCHING, 22 Nov: Belanjawan 2024 Sarawak dilihat sebagai sebagai bajet yang berjiwa rakyat dan akan memanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, butiran yang dibentangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kelmarin juga bukan hanya gah pada istilah kerana bersifat inklusif.
DUN: Abang Johari bentang bajet terbesar dalam sejarah Sarawak
Kata beliau, ini menunjukkan Kerajaan Sarawak yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) memahami kehendak serta denyut nadi rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.
“Di sini kita melihat akan ada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.
“Dalam bajet itu juga, Kerajaan Sarawak turut menitik berat keperluan golongan belia dan remaja menerusi pemberian baucar buku RM500 dan komputer riba percuma kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan perbahasan sulungnya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Pada Isnin, Abang Johari Tun Openg membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah Sarawak berjumlah RM12.363 bilion untuk 2024.
“Ini merupakan amanah yang berat bagi diri saya yang akan meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Talip Zulpilip,” katanya. -TVS