Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan menerusi Dasar Perumahan Mampu Milik Negara. Foto hiasan, Envato.

DUN: 2,478 unit rumah mampu milik bakal dibina di Sarawak menerusi RMK12

ByMarzella Sigai

KUCHING, 22 Nov: Sebanyak 2,478 unit rumah mampu milik dirancang untuk dibina seluruh Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan menerusi Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

Jelasnya, dasar itu juga menetapkan harga rumah mampu milik antara RM100, 000 hingga RM300, 000.

“Pelaksanaan berkenaan mampu merealisasikan impian kumpulan sasar seperti golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri.

“Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara turut menyediakan program perumahan kos rendah iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menawarkan rumah kos rendah pada harga RM50,400 hingga RM59,220,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato Sri Huang Tiong Sii (Gabungan Parti Sarawak – Repok) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut,  Michael Tiang berkata, penyediaan rumah mampu milik berada di bawah senarai bersama Perlembagaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk menyelaras dan melaksanakan pembangunannya untuk golongan yang memerlukan.

“Kerajaan Sarawak membenarkan skim rumah mampu milik (dilaksanakan) oleh sektor swasta dan keperluan perancangan pembangunan perumahan secara keseluruhan seperti yang dikenakan oleh Lembaga Perancangan Negeri (SPA) melalui perumahan SPEKTRA Lite, SPEKTRA Medium, PUTERA dan Sri Pertiwi turut dilaksanakan,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan Rumah SPEKTRA Permata (RSP) di Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) juga sedang dilaksanakan.

“Bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah, Kerajaan Sarawak sejak 2021 telah memperkenalkan Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS) yang menyediakan semua pembeli rumah kali pertama yang layak akan dibantu sebanyak RM10,000 sebagai deposit atau bantuan bayaran balik bulanan pinjaman perumahan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh 48 bulan,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan