KUCHING, 21 Nov: Rang Undang-Undang (RUU) Elektrik (Pindaan) 2023 diluluskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, pindaan tersebut bertujuan untuk memajukan dasar-dasar Kerajaan Sarawak mengenai peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui bersih.
Katanya, pindaan itu sekali gus meningkatkan, mengukuh dan menambah baik peruntukan dalam Ordinan sedia ada.
“Pindaan akan mengukuhkan status Sarawak sebagai kuasa tenaga atau hab bagi rantau ASEAN melalui sistem grid yang akan membolehkan tenaga boleh diperbaharui dari Sarawak dieksport ke Sabah, Brunei, Kalimantan, Singapura dan Semenanjung Malaysia.
“Ia juga membolehkan rakyat dan pelabur mengambil bahagian dalam pengeluaran atau penjanaan melalui pemasangan sistem tenaga suria dan kuasa hidro,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak hari ini.
Sementara itu, Julaihi berkata, Sarawak Energy Berhad akan mendapat sumber tenaga baharu untuk pengagihan bekalan elektrik melalui sistem grid.
“Dengan pindaan terhadap undang-undang elektrik, ia akan memudahkan Kerajaan Sarawak melaksanakan strategi dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ke arah peralihan tenaga kepada tenaga baharu bersih dan untuk mencipta industri elektrik yang teguh dan dikawal dengan baik untuk menyokong pembangunan mampan Sarawak untuk menjadi wilayah tenaga ASEAN,” katanya.
Terdahulu, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu. – TVS