Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Royston ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Foto: TVS

DUN: PETROS wajar berkuasa penuh kendali seluruh urusan minyak, gas di Sarawak

ByFebbright James

KUCHING, 21 Nov: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) wajar diberi kuasa dalam mengendalikan sepenuhnya urusan berkaitan minyak dan gas di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berpendapat pemberian kuasa sepenuhnya kepada PETROS memainkan peranan penting dalam menguruskan rizab minyak dan gas negeri, serta menggalakkan dan memudahkan pembangunan sektor tenaga.

“Kenapa tidak kita berikan kuasa sepenuhnya kepada PETROS dalam mengendalikan 100 peratus urusan berkaitan minyak dan di Sarawak kerana kita bukan mencuri hak orang lain bahkan kita juga bukan tidak mampu menguruskan hasil bumi sendiri. Biarlah kita sendiri yang membuat keputusan ke atas hak kita.

“Syarikat ini bertanggungjawab untuk mengawasi aktiviti huluan dan hiliran, seperti penerokaan, pengeluaran, penapisan, dan pengedaran sumber minyak dan gas di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Menurutnya, salah satu objektif utama Petros Sarawak adalah untuk memaksimumkan penyertaan Sarawak dalam industri minyak dan gas dan memastikan pengagihan faedah yang saksama kepada negeri, rakyatnya, dan perniagaan tempatan.

Syarikat itu juga ujarnya memberi tumpuan untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan mempromosikan pembangunan keupayaan tempatan dalam sektor tenaga.

“Petros Sarawak bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk menggubal dan melaksanakan dasar-dasar yang sejajar dengan rancangan pembangunan ekonomi negeri.

“Melalui kerjasama strategik dengan pemain industri, Petros menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas di Malaysia dan rantau ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai peranan Agregator Gas, Royston memaklumkan ia nya bertindak sebagai fasilitator, menyatukan pengeluar gas dan pengguna melalui platform berpusat.

Katanya, Agregator gas memanfaatkan teknologi untuk menyelaraskan proses pengedaran, mengoptimumkan logistik dan meningkatkan kecekapan keseluruhan.

“Dengan mengagregat gas dari pelbagai sumber, mereka mewujudkan skala ekonomi, yang membawa kepada kos yang lebih rendah dan mengurangkan kesan alam sekitar. Salah satu kelebihan utama agregator gas ialah keupayaan mereka untuk memberikan fleksibiliti kepada pengguna.

“Melalui platform mereka, pengguna boleh mengakses pelbagai sumber gas, membolehkan mereka memilih pilihan yang paling sesuai berdasarkan harga, kualiti, dan pertimbangan alam sekitar. Ini bukan sahaja menggalakkan persaingan tetapi juga menggalakkan pengeluar untuk mengamalkan amalan yang lebih bersih dan mampan,” jelasnya.

Untuk rekod, Rang Undang-undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 telah diluluskan yang memperuntukkan pelantikan Pengagregat Gas untuk memastikan ketersediaan gas untuk industri dan pengguna dan untuk mengukuhkan, menambah baik dan mengembangkan gas sedia ada rangkaian dan sistem pengedaran.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan