Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lapangan Terbang Miri. Foto: Page Miri Airport

DUN: Pembesaran Lapangan Terbang Miri diberi keutamaan di bawah RM Ke-12

KUCHING, 21 Nov: Kementerian Pengangkutan Sarawak telah mencadangkan rancangan pembesaran Lapangan Terbang Miri ketika kunjungan hormat kepada Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, pembesaran Lapangan Terbang Miri perlu diberi perhatian bagi menampung kapasiti penumpang yang semakin meningkat.

“Lapangan terbang ini asalnya dibina untuk menampung sehingga 2 juta penumpang setahun, tetapi pada tahun 2019, jumlah penumpang mencatatkan pertambahan 2,434,497.

“Menteri Pengangkutan Sarawak telah mengetengahkan pelan berhubung perkara ini  untuk pertimbangan dan sokongan mereka.

“Menteri Pengangkutan memberi jaminan bahawa projek ini akan menjadi projek keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12) dengan harapan mendapatkan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, rancangan pembesaran itu  merangkumi sambungan bangunan baharu, peningkatan kawasan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), penambahan kaunter daftar masuk (CIC), kawasan pejabat baharu, penunjuk arah dan pandu arah baharu.

“Selain itu, ia turut membabitkan sistem pengendalian bagasi baharu (BHS), kerja-kerja penambahbaikan dan peningkatan di kawasan dewan keberangkatan tingkat satu, pengembangan dermaga, tambahan jambatan naik penumpang (PBB) dan lain-lain.

“Rancangan ini hanya bersifat sementara, dan bagi rancangan jangka panjang, Lapangan Terbang Miri akan memerlukan satu terminal baharu untuk menampung permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan