KUCHING, 21 Nov: Kerajaan Sarawak telah berjaya menarik beberapa Pelaburan Langsung Asing (PLA) yang berkaitan dengan projek hidrogen yang dicadangkan di negeri ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, dua projek hidrogen kini sedang dijalankan oleh SEDC Energy di Petchem Industrial Park, Bintulu.
Menurutnya, SEDC Energy bekerjasama dengan konsortium syarikat dari Korea Selatan dengan pelaburan dicadangkan sebanyak RM11.3 bilion dengan Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) ditandatangani pada 16 Oktober lalu.
“Mereka juga bekerjasama dengan pelabur Jepun dengan pelaburan dicadangkan sebanyak RM8.5 bilion dengan JDA ditandatangani pada 25 Oktober lalu pada tahun yang sama.
“Terdapat juga kerjasama dengan Petronas Technology Ventures Sdn Bhd dengan pelaburan PLA dicadangkan sebanyak RM30 juta dan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM100 juta. Jumlah pelaburan keseluruhan adalah RM130 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED)Â sedang berbincang dengan pelabur Australia mengenai projek hidrogen dicadangkan bernilai RM5.6 juta di Samalaju Industrial Park.
“Faktor-faktor yang mendorong PLA di Sarawak antara lain adalah kerajaan yang stabil, dasar pelaburan mesra perniagaan, jentera kerajaan yang efisyen, ketersediaan sumber semula jadi dan boleh diperbaharui, tenaga kerja muda dan berbakat, serta ketersediaan tanah untuk tujuan pembangunan,” ujarnya.
Berkenaan dengan peralihan tenaga pula, Dr. Hazland berkata, pelaburan utama lain akan berada dalam penangkapan karbon, penggunaan, dan penyimpanan (CCUS), bioteknologi termasuk usaha sama dengan Chitose di Sejingkat Power Plant untuk projek bahan bakar penerbangan lestari (SAF) mikroalga.
“Syarikat tempatan dan komuniti akan mendapat manfaat daripada pekerjaan dan peluang perniagaan daripada hasil ekonomi yang dicipta untuk menyokong projek-projek ini dan pengekalan rantaian bekalan dari aktiviti hulu dan hilir. – TVS