KUCHING, 20 Nov: Sarawak perlu meningkat dan memperkukuh pembangunan modal insan bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir khususnya dalam industri hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak masih perlu mengisi lompong itu dengan memastikan generasi muda memilih bidang yang betul dan bersesuaian dengan kehendak industri.
“Satu-satunya bahagian yang perlu Sarawak tingkatkan ialah dalam pembangunan bakat.
“Kita perlu generasi muda memilih bidang yang betul. Jika tidak, ia tidak sepadan dengan latihan mereka,” katanya dalam satu temu bual bersama Channel News Asia baru-baru ini.
Sarawak komited dalam merealisasikan agenda kelestarian dan kesejahteraan dengan menerajui dan memperkasa pembangunan industri hijau negeri.
Kerajaan Sarawak juga berhasrat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, pemilihan hidrogen sebagai alternatif kepada bahan api untuk pengangkutan akan membantu dalam mengurangkan pelepasan karbon.
“Bahan api masa depan yang akan mengurangkan pelepasan karbon ialah hidrogen.
“Jika anda masih menggunakan bateri litium yang bergantung kepada jangka hayatnya, masih tidak mampan dan lestari,” katanya.
Pada September lalu, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) telah memaklumkan kesediaan menyediakan bidang latihan baharu selari dengan keperluan dan kehendak industri semasa di Sarawak.
Pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, CENTEXS bersedia melahirkan tenaga kerja berkaitan industri tenaga hijau. -TVS