KUCHING, 20 Nov: Usaha memperkasa Tempat Transit Gelandangan (TTG) turut diberi perhatian dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 yang dibentang Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi tadi.
Beliau berkata, TTG berfungsi untuk menyatukan golongan gelandangan dengan ahli keluarga yang terpisah, selain sebagai salah satu usaha menyesuaikan golongan itu dalam masyarakat.
“Sejumlah RM500,000 untuk meneruskan operasi Tempat Transit Gelandangan, RM2 juta untuk menubuhkan Pusat Komuniti Berkeperluan Khas dan RM2 juta untuk menubuhkan Pusat Sokongan Sosial Komuniti di Sri Aman, Sibu, Bintulu, Lawas dan Mukah,” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah sebelum ini berkata, selain berfungsi untuk menyediakan keperluan asas seperti tempat tidur bersih, menyediakan makanan serta tempat untuk membersihkan diri, TTG juga menyediakan khidmat kaunseling serta latihan yang mampu menjana ekonomi.
Jun lepas, Fatimah berkata, sebuah TTG bakal dibina di Bintulu dengan kerjasama pihak Bintulu Development Agency (BDA).
Menurutnya, Bintulu mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi dengan kira-kira 14 orang gelandangan direkodkan setakat Jun lalu.
Mengulas mengenai usaha dalam menyokong komuniti dan program intervensi sosial bersepadu pula, Abang Johari berkata, kerajaan akan terus menyediakan bantuan untuk pusat perlindungan sementara gelandangan, antaranya RM500,000 untuk menubuhkan Pusat Perlindungan Sementara untuk komuniti berpendapatan rendah di Kuching.
Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak komited meneruskan agenda keterangkuman sosial dengan menyediakan bantuan dan perkhidmatan bersasar. -TVS