Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan. Foto, Envato.

DUN: Sarawak peruntukan RM20 juta biayai kos pendidikan awal kanak – kanak

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 20 Nov: Pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak turut diberi tumpuan menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Abang Johari yang Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata, sejumlah RM20 juta disediakan bagi membiayai kos pengoperasian institusi pendidikan awal kanak-kanak, SeDidik Sdn Bhd (SeDidik) yang mempunyai 100 cawangan tadika dan taska di seluruh wilayah ini.

“(Sebanyak) RM2.5 juta subsidi yuran institusi pendidikan awal kanak-kanak juga akan diberikan pada tahun hadapan bagi meringankan beban ibu bapa. Ini akan memanfaatkan seramai 2,500 kanak-kanak,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Abang Johari turut memaklumkan, sejumlah RM3 juta juga akan diagihkan kepada Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) Sarawak bagi meneruskan program-program yang ditawarkan di pusat itu di Metrocity dan Kompleks Kebajikan Dalat, selain penubuhan OSEIC di Miri.

Sementara itu, bagi meringankan beban kewangan menguruskan pengebumian ahli keluarga yang meninggal dunia, Abang Johari memaklumkan sebanyak RM15 juta diperuntukkan di bawah Bantuan Pampasan Kematian untuk pemegang Kenyalang Gold Card (KGC).

“Bagi membantu seramai 260 pesakit buah pinggang di seluruh Sarawak pula, sebanyak RM4.7 juta diperuntukkan di bawah bantuan hemodialisis untuk pesakit buah pinggang,” katanya.

Pada masa sama Abang Johari memaklumkan usaha membantu golongan wanita terus diperkasa di bawah Insentif Sukarela i-Suri.

“Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM4.2 juta pada 2024 bagi membantu Isteri Ketua Isi Rumah (IKIR) atau Ketua Isi Rumah Wanita (KIRW) yang berkelayakan di Sarawak untuk menyumbang kepada skim Sumbangan Sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujar beliau. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan