Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto, TVS.

DUN: Sarawak diunjur peroleh pendapatan RM12.749 bilion tahun hadapan – Abang Johari

KUCHING, 20 Nov: Sarawak diunjur memperoleh pendapatan RM12.718 bilion pada tahun ini dan dijangka terus meningkat kepada RM12.749 bilion pada tahun hadapan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, unjuran pendapatan tertinggi menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan kewangan.

Menurutnya, hasil kutipan Sarawak berjumlah RM11.63 bilion yang dicatatkan sehingga Oktober 2023 telah melebihi anggaran kutipan sebanyak RM11.035 bilion yang diunjurkan sebelum ini dan menjangkakan kutipan hasil tahun ini akan lebih baik berbanding tahun 2022.

“Berdasarkan prestasi kita setakat ini, kutipan hasil untuk tahun ini diunjurkan sebanyak RM12.718 bilion, peningkatan sebanyak RM808 juta atau tujuh peratus berbanding hasil kutipan sebanyak RM11.91 bilion pada 2022.

“Ini akan menjadi kutipan hasil Sarawak yang memecahkan rekod dan tertinggi dalam sejarahnya,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Beliau berkata, kutipan hasil sebenar sebanyak RM11.63 bilion itu adalah merupakan daripada sumber utama.

“Antaranya ialah cukai jualan negeri (SST) sebanyak RM4.231 bilion terdiri daripada SST daripada keluaran petroleum sebanyak RM3.424 bilion, minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit sebanyak RM630 juta, aluminium sebanyak RM103 juta, loteri sebanyak RM62 juta, hasil kayu sebanyak RM8 juta dan arang batu bernilai RM4 juta.

“Manakala hasil lain adalah daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM2.862 bilion, dividen sebanyak RM2.096 bilion, faedah dan pulangan daripada pelaburan sebanyak RM748 juta, royalti air mentah sebanyak RM496 juta, premium tanah sebanyak RM213 juta, perhutanan sebanyak RM263 juta, pampasan tunai sebagai ganti import dan duti eksais ke atas produk petroleum sebanyak RM120 juta, pemberian dan pembayaran balik Persekutuan sebanyak RM270 juta dan sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air dan sewa tanah sebanyak RM331 juta,” ujarnya.

Abang Johari turut memaklumkan, sehingga Oktober 2023, RM8.358 bilion atau 75 peratus daripada perbelanjaan biasa telah dibelanjakan, di mana RM3.258 bilion dibelanjakan untuk tujuan operasi manakala RM5.1 bilion diperuntukkan kepada Kumpulan Wang Berkanun.

“Bagi perbelanjaan pembangunan pula, RM5.662 bilion daripada RM8.006 bilion atau 71 peratus telah dibelanjakan untuk tempoh yang sama.

“Memandangkan momentum pembangunan terus meningkat dan pelaksanaan projek semakin giat, perbelanjaan dijangka meningkat menjelang akhir tahun,” ujarnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan