Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Foto: TVS

DUN: RUU Ombudsman Sarawak perkasakan orang awam laporkan salah guna kuasa

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 20 Nov: Cadangan Rang Undang-Undang Ombudsman (RUU Ombudsman) Sarawak akan membolehkan orang awam melaporkan salah guna kuasa oleh agensi perkhidmatan awam Sarawak dengan lebih telus.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, RUU berkenaan antara lain memberi kuasa penyiasatan yang meluas, termasuk membenarkan saksi memberikan maklumat, mengeluarkan dokumen, penangkapan dan menjalankan siasatan dan serbuan.

Kata beliau, kewujudan RUU Ombudsman khas untuk Sarawak akan menyediakan pengawasan bebas terhadap prestasi agensi perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Ombudsman Sarawak akan memastikan keadilan, ketelusan, dan akauntabiliti dalam perkhidmatan yang penting bagi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Berhubung strukturnya, Awang Tengah menjelaskan, Ombudsman Sarawak akan dipimpin oleh Ketua Ombudsman dan Timbalan Ketua Ombudsman bersama dengan tiga hingga lima Ombudsman lain yang mempunyai kepakaran atau pengalaman.

“Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan melantik Ombudsman ini dan mereka akan mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh maksimum tiga tahun dengan kemungkinan pelantikan semula.

“Ini merupakan manifestasi jelas komitmen kita untuk mengekalkan integriti dan memastikan agensi perkhidmatan awam negeri memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat.

“Pentadbiran Ombudsman Sarawak akan diuruskan oleh Pentadbir Utama, yang Menteri lantik daripada kalangan ahli Perkhidmatan Awam Negeri dan akan dibantu oleh sebilangan pegawai,” tambahnya.

Sementara itu Awang Tengah turut menjelaskan bahawa RUU berkenaan memberi kuasa kepada Ombudsman untuk menyelesaikan aduan, termasuk menolak aduan yang tidak berasas, mencadangkan tindakan pembetulan atau pencegahan yang harus diambil oleh agensi perkhidmatan awam negeri. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan