Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM83 juta bagi pembangunan pelabuhan, keselamatan pelayaran dan projek sungai menerusi Belanjawan 2024, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.Foto hiasan, Envato.

DUN: RM83 juta untuk pembangunan pelabuhan, keselamatan pelayaran dan projek sungai – Abang Johari

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 20 Nov: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM83 juta bagi pembangunan pelabuhan, keselamatan pelayaran dan projek sungai menerusi Belanjawan 2024, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, antara cadangan menerusi belanjawan itu adalah untuk membangunkan limbungan kenderaan dan kemudahan berkaitan di Pelabuhan Senari di Kuching selain pembangunan pelabuhan dan gerak pengorekan penyelenggaran kepada pihak berkuasa pelabuhan negeri.

Kata Abang Johari, peruntukan berkenaan juga membabitkan pembinaan dan penyiapan Terminal Tanjung Embang Fasa 1 di Pelabuhan Kuching selain kajian pelan induk pelabuhan, pembinaan dermaga, jeti, tembok sungai serta tebingan sungai akan turut dilaksanakan.

“Pelabuhan adalah pemangkin kepada pembangunan ekonomi kerana ia membolehkan perdagangan dan menyokong rantaian bekalan.

“Kerajaan Sarawak komited untuk menyokong pembangunan pelabuhan untuk perkhidmatan pelabuhan yang lebih baik dan cekap,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Abang Johari menambah, pemasangan dan pentauliahan kren dermaga baharu untuk Lembaga Pelabuhan Kuching yang menelan belanja kira-kira RM72 juta pula dijangka akan meningkatkan produktiviti pengendalian kargo dan merangsang pertumbuhan jumlah kargo.

“Sarawak berhasrat untuk menjadi hab transit maritim, memandangkan lokasi (kita) yang strategik di sepanjang laluan perdagangan serantau Asia Tenggara,” tambahnya.

Tambah beliau, bagi memodenkan dan mentransformasikan pengangkutan bandar, Kerajaan Sarawak telah memulakan pelaksanaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar (KUTS) Kuching, di mana pelaksanaan Fasa 1 merangkumi pembangunan tiga laluan Autonomous Rapid Transit (ART).

“Sejumlah RM900 juta telah diperuntukkan untuk projek ART tahun depan.

“Di samping itu, dalam usaha kita untuk menambah baik dan menaik taraf sistem pengangkutan awam, sejumlah RM5 juta akan disediakan pada 2024 untuk pelaksanaan bas pintar untuk Bandaraya Miri bagi menyediakan perhubungan yang lebih baik dan meningkatkan mobiliti untuk rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mendedahkan sebanyak RM35 juta diperuntukkan untuk Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) bagi penanaman semula kelapa sawit di ladang sedia ada membabitkan 10,500 hektar dan untuk penanaman baharu seluas 6,400 hektar. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan