KUCHING, 20 Nov: Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan geran penyelidikan melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) bagi merangsang ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak RM15.4 juta geran penyelidikan akan disediakan untuk tujuan itu pada tahun depan.
Menurut beliau, ini membolehkan pembangunan penyelidikan dan inovasi berasaskan sains dan teknologi menjadi sangat berkesan dengan potensi pengkomersilan.
“Geran tersebut akan menangani empat bidang penyelidikan merangkumi Bioindustri dan Sains Kesihatan Bioperubatan, Biodiversiti dan Alam Sekitar, Makanan dan Pertanian termasuk Kejuruteraan Sains dan Teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Menyentuh mengenai aktiviti R&D menerusi penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC), Abang Johari memberitahu, sejumlah RM10.7 juta diperuntukkan untuk pembinaan dan operasinya bagi 2024 dalam usaha memberi tumpuan kepada penyelidikan penyakit berjangkit yang muncul dan berulang.
Tambah beliau, SIDC merancang untuk melancarkan program pemantauan penyakit masa nyata, melibatkan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan global, termasuk Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Amerika Syarikat. -TVS