KUCHING, 20 Nov: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah negeri Bumi Kenyalang, berjumlah RM12.363 bilion untuk tahun 2024.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding peruntukan perbelanjaan bernilai RM10.797 bilion pada 2023.
“Belanjawan 2024 akan terus berkembang untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Belanjawan yang bertemakan ‘Pembangunan untuk Semua: Bersama, Membina Sarawak yang Sejahtera, Mampan dan Bersatu’ itu juga memperuntukkan RM7.800 bilion untuk pembangunan dan RM4.563 bilion untuk operasi.
Mengulas lanjut, Abang Johari memaklumkan pembangunan kawasan luar bandar akan terus menjadi fokus Kerajaan Sarawak selain akan menyediakan bantuan kos sara hidup di beberapa kawasan untuk mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, membuat pelaburan bersasar dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat.
“Ini adalah bajet terbesar yang pernah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dalam sejarah, bukti kejayaan usaha merekayasa semula hasil kami dan pengurusan kewangan yang berhemat,” jelasnya. -TVS