Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) ketika sidang media selepas mengakhiri hari ketiga lawatan rasmi beliau ke Beijing, Turut bersama adalah Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin (kiri) dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad. Foto,Bernama.

Misi promosi sawit Malaysia berjaya, China tambah ekspot tahun depan – TPM Fadillah

ByBernama

BEIJING, 19 Nov: Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke China selama seminggu bermula 12 November lepas, membuahkan hasil memberangsangkan apabila negara itu memberi komitmen untuk menjalin kerjasama lebih erat, terutama berkaitan bidang pertanian dan komoditi minyak sawit.

Lebih bermakna lagi, lawatan beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ke Shanghai dan Beijing itu dimuktamadkan dengan komitmen negara Tembok Besar berkenaan untuk meningkatkan jumlah eksport sawit kepada 3.4 juta tan pada tahun depan berbanding kira-kira 3.14 juta tan pada masa ini.

Rasionalnya, komitmen China ini penting kerana selain mempunyai pasaran dari segi populasi kira-kira 1.4 bilion penduduk, Beijing juga berperanan penting sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.

Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa yang bernilai RM26.46 bilion – peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.

Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada tahun yang sama adalah sebanyak RM8.44 bilion.

“Saya kira ini satu misi yang amat berjaya. Walaupun kita mempunyai jadual yang padat tetapi ia amat bermakna dengan perbincangan produktif selain respons mereka yang sebegitu positif.

“Apa sahaja yang kita bincang dan kita kemukakan, mereka menyambutnya dengan baik dan komited untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia,” kata Fadillah kepada media Malaysia pada akhir lawatan berkenaan.

Lawatan sulung beliau juga bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Malaysia dan China manakala tahun depan menyaksikan kedua-dua negara ini menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Di Shanghai, beliau melancarkan plak Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit MPOB (PORTSIM) yang menerima pengiktirafan akreditasi makmal daripada China iaitu China National Accreditation Services (CNAS) dan China Inspection Body and Laboratory Mandatory Approval (CMA).

Ini disusuli dengan pertemuan bersama 62 pemegang taruh China pada sesi Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi dengan topik perbincangan termasuk strategi meningkatkan kerjasama dengan China, khususnya aplikasi minyak sawit dalam rantaian nilai.

Fadillah turut menyaksikan penganugerahan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada Grand Oils and Fats (Dongguan) Co Ltd, kilang penapisan pertama di luar Malaysia yang diperakui dengan MSPO.

Selain itu, beliau menghadiri mesyuarat dua hala bersama Naib Premier Ding Xuexiang dan Liu Guozhong selain Menteri Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua serta menghadiri masjlis makan malam dihoskan oleh Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Tang Renjian.

Beliau juga memanfaatkan kesempatan berada di sana dengan menyantuni kalangan diaspora dan penuntut Malaysia di Shanghai dan Beijing.

Eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat tahun ini – Fadillah

Tokotrienol Malaysia bakal tembusi pasaran meluas di China

Menyentuh produk sawit, Fadillah berkata kedua-dua kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu perdagangan yang melibatkan tokotrienol sawit (vitamin e) Malaysia ke negara itu selain menggalakkan kerjasama institut-institut penyelidikan mengenai aplikasi teknologi terkini dalam industri komoditi.

Malah, beliau berkata China juga mengalu-alukan MSPO Malaysia yang akan membantu kedua-dua negara mencapai sasaran matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Selain itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) dan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China akan berbincang dan dijadual memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) bagi mewujudkan mekanisme dua hala pada tahun depan.

“Kita telah bersetuju untuk merangka MOU itu yang diharap dapat dimeterai dalam tempoh empat bulan bersempena ulang tahun ke- 50 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara,” kata beliau.

Kekangan EUDR berlanjutan, KPK beralih ke pasaran lain

Menjelaskan selanjutnya, Fadillah berkata sekatan daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) menyebabkan Malaysia tidak dapat membuka ladang-ladang baharu mulai 2020.

Berikutan itu, Malaysia perlu menumpukan usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran minyak sawit daripada ladang sedia ada bagi memenuhi keperluan dalam negara, meningkatkan eksport selain memperluas pasaran minyak sawit ke negara lain seperti China.

“Turkiye misalnya adalah antara negara yang menjadi tumpuan selain menyasarkan untuk meningkatkan pasaran ke India, Mesir, negara Arab lain serta di benua Afrika,” katanya.

Fadillah bagaimanapun menegaskan bagi manfaat jangka panjang, Malaysia tidak boleh hanya menumpukan kepada satu-satu segmen komoditi, sebaliknya turut membabitkan keseluruhan rantaian nilai agrikomoditi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan