SIMUNJAN, 19 Nov: Sebanyak 1,032 anak pokok meranti dan selangan batu berjaya ditanam oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) di Hutan Simpan Sabal, semalam.
Penolong Pengarah JHS Zarina Shebli berkata, inisiatif berkenaan dilakukan di bawah Kempen Agenda Menghijaukan Sarawak melalui penanaman 100 juta pokok.Â
Kata beliau, usaha berkenaan selaras dengan hasrat JHS melawan perubahan iklim yang menjadi salah satu masalah utama dihadapi oleh masyarakat global pada hari ini.
“Sebagai barisan hadapan Kempen Menghijaukan Sarawak, kami berbesar hati melibatkan ramai peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk memelihara alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Program itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi SEB, Ir. James Ung.
Acara berkenaan disertai oleh seramai 150 peserta pelbagai jabatan di kedua – dua agensi itu. -TVS