KUCHING, 19 Nov: Penganjuran program di peringkat komuniti harus merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa meminggirkan kumpulan tertentu khususnya generasi muda.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini penting bagi memastikan semua pihak terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.
Kata beliau, generasi muda penting untuk dilibatkan kerana mereka merupakan golongan pelapis pemimpin masa depan.
“Jangan lupa untuk mengaturkan program untuk golongan muda termasuk kanak-kanak dan belia, kita sediakan apa sahaja aktiviti yang memberi manfaat kepada mereka.
“Anjurkan secara bersama kerana generasi muda yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan kawasan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Karnival Gemilang Damai Ke-4 di Dewan Kampung Rampangi Fasa 1, di sini pada Ahad.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata dengan cara itu usaha untuk menyediakan suasana dan ekosistem kehidupan yang kondusif dapat dilakukan dengan efektif.
“Semestinya kita hendak menyediakan lapangan yang sesuai untuk generasi muda, itu sebabnya apabila saya bersama dengan jawatankuasa kejiranan mesra (KJM) perkara itu ditekankan dalam semua aktiviti yang kita anjurkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan Jawatankuasa KJM DUN Pantai Damai telah memutuskan akan menganjurkan 81 program dan acara sepanjang tahun depan. -TVS