KUCHING, 18 Nov: Mengusahakan produk kraf tangan sejak 10 tahun lalu menjadikan usahawan ini nekad agar nilai keaslian hasil rimba terus dikekalkan.
Menurut Sijah Ejut mengekalkan keaslian itu penting dalam memperkenalkan produk Sarawak di mata dunia.
Pada masa sama, Sijah juga berazam untuk mengusahakan produk kraf asli buatan sendiri termasuk mengambil secara borong hasil produk dari penduduk di kawasan rumah panjang.
Ini secara tidak langsung katanya dapat membantu komuniti luar bandar terutamanya rumah panjang untuk memasarkan produk mereka.
“Kami borong dari pelbagai tempat, ada dari Pakan, Pasai Siong, Julau, Menyan bergantung dengan jenis produk. Dari Asap, Belaga pun ada. Kalau produk tanah liat saya ambil dari Lawas dan Kuching.
Kalau boleh untuk menjual produk-produk ini, kita kekalkan yang asli, contohnya seperti kulit kayu dan tanah liat,” katanya.
Sijah berkata demikian ketika ditemui TVS sempena pameran Produk Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) Zon Tengah di Plaza Merdeka, baru-baru ini.
Usahawan wanita berbangsa iban itu juga mendedahkan dirinya mengusahakan kedai kraf tangannya di bandar Sibu dengan keuntungan bulanan mencecah sehingga RM3,000 sebulan.
“Kraf tangan kita ini memang sudah terkenal di mata dunia. Namun, menjadi harapan saya yang mana kita masih lagi perlukan bantuan daripada jabatan berkaitan untuk membawa kami ke luar negara dan bukan hanya kraf tangan ini didedahkan kepada masyarakat tempatan sahaja.
Ini agar pasaran kraf tangan kami diperluaskan sehingga mendapat pelanggan dari luar negara,” katanya lagi.
Antara produk yang dihasilkannya sendiri adalah baju kulit kayu, baju burung dan baju gagung yang mana ia diperbuat daripada kulit kambing. – TVS