KUALA LUMPUR, 18 Nov: Pengamal media perlu memainkan peranan secara telus dalam melaporkan berita-berita berhubung konflik Palestin-Israel berdasarkan realiti sebenar yang berlaku di Gaza.
Setiausaha Kesatuan Ulama’ Muslimin Sedunia, Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi berkata wartawan berperanan penting dalam melaporkan insiden sebenar kepada masyarakat awam dan bukannya memanipulasikan sesuatu fakta.
“Manipulasi berita yang disebarkan kepada awam oleh syarikat akhbar yang cenderung ke barat, mereka dilihat telah melakukan banyak penipuan sedangkan kematian (dan tragedi) sebenar yang banyak berlaku di Palestin.
“…dan (manipulasi) ini adalah bagi melemahkan motivasi umat Islam dalam peperangan ini,” katanya dalam Bahasa Arab pada sesi Syarahan Perdana Isu Palestin dan Dialog Ilmuan Islam 2023 di Masjid Negara, semalam.
Syarahan beliau dalam sesi itu diterjemahkan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar.
Senada itu, Pengerusi Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata peranan media dilihat antara sumbangan utama yang diperlukan Palestin berikutan pengaruhnya dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu tersebut.
Mengambil contoh tragedi pengeboman Hospital al-Shifa di Semenanjung Gaza oleh rejim zionis baru-baru ini, beliau berkata manipulasi yang dilakukan oleh agensi media barat mengaitkan fasiliti kesihatan itu dengan Hamas adalah sesuatu yang perlu dielakkan dan ditapis.
“Bahkan, dengan adanya media sosial pada hari ini, masyarakat boleh mengikuti setiap detik yang berlaku di Gaza sekali gus menyukarkan agensi-agensi berita berkaitan untuk memanipulasi fakta sebenar,” katanya.
Turut hadir dalam sesi dialog itu Ketua Sekretariat Duat Al-Falah, Abdul Hadi Bakri Abdullah. -TVS