KUCHING, 17 Nov: Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) merupakan platform terbaik untuk mencungkil serta mengetengahkan bakat anak Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.
Timbalan Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan menyifatkan inisiatif Majlis Seni Sarawak (MSS) itu juga akan memelihara kesenian dan warisan di negeri ini.
Justeru itu, beliau berharap program seumpama itu  akan dianjurkan oleh badan berkanun berkenaan pada masa akan datang.
“Saya percaya dengan adanya pemimpin yang menerajui MSS pada ketika ini, MSS dapat menjadi sebuah badan berkanun yang dapat menjadi tonggak kesenian di Sarawak.
“Selain itu MSS juga merupakan platform penyampai Dasar Kebudayaan Negara kepada masyarakat setempat khasnya dan rakyat secara umumnya,” katanya.
Snowdan berkata demikian pada Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) yang berlangsung di Dewan Satok Hikmah Exchange Centre (HEEC) Kuching di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Dayang Mariana Abang Bolhassan dan Penolong Setiausaha (Seni, Budaya dan Warisan) Barry Lian Ingan.
FTLA merupakan sebahagian dari siri Festival Kesenian Sarawak 2023 (FKS 2023) yang bermula semalam dan akan berakhir pada 19 November ini lokasi yang sama.
Pelbagai aktiviti kesenian lain juga berlangsung sepanjang festival tiga hari itu antaranya pameran daripada 35 pempamer termasuk dari persatuan, agensi kesenian dan IPTA, Bengkel Bootcamp Tari dan Nyanyian Lagu Asli dan program bual bicara Ngelakar Seni Premium dengan tajuk Kesedaran ke arah Kemampanan Kepelbagaian Seni di Sarawak.
Difahamkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka hadir  menyempurnakan Majlis Penangguhan FKS 2023 pada Ahad ini. -TVS