KOTA SAMARAHAN, 18 Nov: Sistem Aliran Transit Autonomous (ART) mula menjalani Ujian Latihan Bukti Konsep (POC) di Kota Samarahan, semalam.
Latihan berkenaan dilakukan selepas laluan khas bagi kenderaan berkuasa hidrogen itu telah disiapkan.
Ujian latihan bukti konsep (POC) itu telah melalui laluan sepanjang 2.6 Kilometer di antara dua bulatan Kuching-Samarahan Expressway yang telah ditukar menjadi persimpangan lampu isyarat pintar.
Laluan itu turut dilengkapi dengan lampu isyarat teknologi pintar bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar.
Laluan berkenaan bakal menjadi sebahagian daripada lorong khusus tetap yang dibina untuk penjajaran ART Blue Line.
Semasa menjalankan ujian kejuruteraan dan latihan POC, prototaip kenderaan hidrogen ART tidak dibuka kepada orang ramai.
Bagaimanapun pihak berkepentingan terpilih akan dijemput untuk merasai pengalaman menaiki ART, sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan data.
Kenderaan ART prototaip untuk latihan POC ini berukuran 30.2 meter panjang, 2.65 meter lebar dan 3.7 meter tinggi.
Ia boleh mencapai kelajuan sehingga 70 kilometer sejam dan mempunyai kapasiti 300 penumpang dengan susun atur tempat duduk yang akan disemak semula. – TVS