BALING, 17 Nov: Seorang wanita warga emas ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah telaga di belakang rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di sini kelmarin.
Mangsa, Umi Kalsom Jasin, 80, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) bisu itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada kira-kira 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, menurut waris mangsa, wanita berkenaan sebelum itu pergi memotong rumput di belakang rumah pada kira-kira 12.30 tengah hari sebelum tidak pulang.
“Waris berkenaan kemudiannya cuba mencari mangsa di rumah, namun tidak ditemui.
“Wanita itu kemudiannya dijumpai di dalam perigi di belakang rumah sebelum waris itu menghubungi polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Shamsudin, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa dan kawasan sekitar bagaimanapun tidak menjumpai kesan jenayah.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Hasil bedah siasat di Hospital Alor Setar dekat sini mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya. – TVS