KUCHING, 17 Nov: Jika kerajaan Persekutuan ingin mempertimbangkan untuk membawa pelarian dari negara lain ke negara ini, semua isu pendatang asing tanpa izin mesti diselesaikan terlebih dahulu.
Itu syor yang diutarakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
Beliau berkata kerajaan mengambil berat dan bersimpati dengan keadaan menimpa rakyat Palestin. Tanda keprihatinan, banyak organisasi korporat dan individu di Malaysia menderma dana yang besar kepada tabung bantuan Palestin.
Abdullah percaya bahawa sokongan yang ditunjukkan penduduk di seluruh dunia menerusi perhimpunan besar-besaran daripada pelbagai komuniti berbeza kepercayaan agama dan budaya adalah untuk menunjukkan sifat kemanusiaan.
Niat mereka hanya ingin menunjukkan sokongan ikhlas mereka kepada mangsa, terutamanya dalam kalangan orang awam yang tidak bersalah.
“Kita semua manusia, jika kita mampu menunjukkan sikap empati terhadap haiwan, apa salahnya menunjukkan sifat kemanusiaan dan simpati tulen terhadap manusia lain yang tidak berdosa yang menjadi mangsa konflik bersenjata yang menyebabkan kematian, kesakitan melampau, kesedihan dan kebimbangan,” katanya ketika diminta mengulas.
Menurutnya, perhimpunan menyokong Palestin yang diadakan oleh masyarakat dunia dari berbagai bangsa dan agama adalah atas prinsip mendukung perikemanusian dan membantah serangan bersenjata yang mengorbankan ramai nyawa orang awam tidak bersalah.
“Saya tidak akan berdebat tentang siapa penganas atau mangsa. Tulisan fakta sejarah dan laporan berita tentang konflik di Timur Tengah itu banyak dan mudah diperolehi di media sosial.
“Namun begitu, ada berita tentang konflik ini diputar-belit dengan sengaja oleh pihak tertentu, maka kita harus bijak meneliti berita yang diterima terutama sekali berita dari barat,” katanya.
Menurutnya, konflik antara rejim Zionis dan Palestin telah berlarutan sejak lebih 70 tahun. Tentu ramai menyedari bahawa konflik ini tiada kaitan langsung dengan isu keagamaan atau pertelingkahan kaum.
Semua berpunca atas dasar penguasaan politik yang ada campur tangan oleh negara kuasa besar barat yang tidak sensitif dengan kematian ramai mangsa serangan senjata berat.
Malah ramai kaum Yahudi di seluruh dunia turut mengecam tindakan ganas rejim zionis yang menguasai kerajaan Israel masa ini.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa dalam kalangan warga Palestin yang terkorban dalam serangan tersebut turut melibatkan penganut kristian. Turut musnah dalam serangan ialah masjid dan gereja.
Rakyat Malaysia tidak seharusnya membenarkan sesiapa yang berniat serong serta fahaman yang sempit tentang konflik di Timur Tengah ini mengambil kesempatan cuba untuk memutar-belitkan situasi dan menghasut dengan nada perkauman dan kebencian.
“Kita warga Malaysia yang paling majmuk terutama di Sarawak yang indah dengan berbagai budaya harus mengamal nilai toleransi yang tinggi dan mesti berhati-hati dalam kenyataan atau tindakan kita supaya tidak menguris perasaan sahabat-sahabat dari kaum lain.
“Bagi saya, sejujurnya sedih dan kasihan dengan nasib warga Palestin, tapi untuk sementara waktu, nasib dan masa depan Sarawak saya dahulukan,” katanya. – TVS