KUCHING, 17 Nov: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal merasmikan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2023 di Dewan Suarah, Kapit pada 2 Disember ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni (MTCP) Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata sambutan bertemakan ‘Belia Maju, Sarawak Makmur’ akan berlangsung dari 1 hingga 3 Disember 2023.
“Antara objektif program adalah untuk mempromosi dan menggalakan penglibatan aktif belia dalam meningkatkan budaya hidup sihat di samping turut mempromosikan kelab, persatuan dan individu yang berketerampilan di Sarawak.
“Di samping itu, tujuan program ini adalah untuk membantu menjana pendapatan pengusaha kecil dalam kalangan belia melalui penjualan pelbagai produk tempatan dan komersial setelah pandemik COVID-19 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Hari Belia Sarawak 2023 di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya di sini, hari ini.
Menurut Gerald, seramai 1,500 orang dijangka hadir terdiri daripadapelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Pertubuhan Belia dan Sukan serta penduduk setempat.
Kemuncak sambutan akan menyaksikan acara penyampaian Anugerah Belia Negeri bagi kategori individu dan Anugerah Malaysia Book of Records.
Seterusnya antara pengisian program lain adalah, Pameran Kerjaya dan Agensi, Public Art Installation, Glamping, Soul Konsert menampilkan Jamal Abdillah, Dewi Seriestha, Ramles Walter, dan persembahan beberapa artis tempatan serta banyak lagi aktiviti menarik. – TVS