BINTANGOR, 17 Nov: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM335,000 untuk melaksanakan tiga projek baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, antara projeknya ialah naik taraf pembentung konkrit jalan Rumah Jimbai yang bernilai RM50,000.
Jelasnya, peruntukan berkenaan adalah bagi membangunkan prasarana kemudahan di samping memudahkan urusan harian rakyat di DUN Meradong.
“Saya berharap semua pihak memberikan kerjasama supaya projek ini nanti berjalan lancar dan sempurna,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak juga memperuntukkan RM85,000 untuk naik taraf jalan utama ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Cheng Sungai Mador dan pembinaan jambatan Sungai Dabai, di samping menaik taraf jalan utama kepada jalan batu yang berharga RM200,000.
Sehubungan itu, beliau mewakili penduduk menzahirkan penghargaan dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan meluluskan peruntukan untuk semua projek berkenaan. – TVS