KUCHING, 17 Nov: Sempena sambutan ulang tahun ke-10 Miri Country Music Festival (MCMF) kembali dengan menghidangkan temasya berkenaan secara percuma kali ini pada 1 hingga 2 Disember di Coco Cabana, Miri di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sembilan artis tempatan dan luar negara akan beraksi di pentas berkenaan.
Menurutnya festival dua hari itu turut menyasarkan kehadiran sebanyak 2,000 pengunjung.
“Dalam semangat kesyukuran atas sokongan yang diberikan oleh peminat dan komuniti selama sepuluh tahun, saya dengan gembira mengumumkan bahawa kemasukan ke MCMF 2023 adalah percuma dan terbuka untuk orang ramai.
“Sebanyak sembilan penyanyi genre country akan menyertai festival ini, merangkumi wakil-wakil dari Amerika Syarikat, Vietnam, Malaysia, dan juga kumpulan tempatan dari Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media MCMF 2023 di di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya di sini, hari ini.
Tambahnya, antara pengisian lain pada festivaldua hari itu ialah larian ‘Fun Run 5km’ dan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) festival MCMF Projek Buku.
“Projek Buku yang diperkenalkan tahun lepas akan diteruskan lagi pada tahun ini.
“Buku-buku ini diderma oleh masyarakat dan akan diedarkan dalam kalangan pelajar di sekolah luar bandar, bertujuan untuk memperkembangkan kemahiran literasi.
“Pada tahun lepas, sebanyak 500 buku telah diedarkan kepada SK Long Lama dan Long Latei selepas festival dianjurkan,” ujarnya.
Antara barisan artis terkemuka tanah air dan antarabangsa yang bakal membuat persembahan adalah The Johnny Kongo dari Vietnam, Os Pombos dari Malaysia, The Evergreen Limited, Roland Tarawe dan kumpulan country terkenal Sarawak, Country Road Band. – TVS