Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Vo Van Thuong bersetuju meningkatkan kerjasama bagi menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia. Foto: Bernama.

Malaysia, Vietnam tangani penangkapan ikan secara haram, bincang isu Laut China Selatan

ByBernama

SAN FRANCISCO, 17 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Vietnam Vo Van Thuong bersetuju meningkatkan kerjasama bagi menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.

“(Malaysia) mendapatkan kerjasama dan komitmen yang berterusan dari Vietnam dalam usaha memerangi aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia,” kata Anwar.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu Laut China Selatan dan bersetuju mematuhi sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan serta menggesa diwujudkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan.

Perdana Menteri memaklumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Vo di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta Ahli Parlimen Sim Tze Tzin.

Beliau turut mengulangi jemputan kepada Presiden Vietnam untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada 2024.

Anwar berkata mereka turut membincangkan kaedah untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama antara Malaysia dan Vietnam.

Hanoi adalah rakan dagangan ke-12 terbesar Malaysia di peringkat dunia serta yang keempat negara dalam blok ASEAN selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.

Pada 2022, nilai dagangan dua hala terus meningkat sebanyak 16.4 peratus kepada US$19.44 bilion berbanding US$16.7 bilion pada 2021 dan dari segi pelaburan, Malaysia adalah pelabur ke-10 terbesar Vietnam selepas Singapura dan Thailand.

Vietnam juga meminta Malaysia memudahkan kemasukan produk halal dari negara itu dan menjalin kerjasama dalam pensijilan halal.

Anwar berkata Hanoi turut mengucapkan terima kasih kepada negara kerana telah melatih para pegawainya di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

“Vietnam menyarankan agar diadakan kerjasama bandar berkembar antara negara itu dengan Malaysia,” katanya.

Kedua-dua pemimpin mengesahkan kesatuan dalam ASEAN dan mengulangi sokongan terhadap Laos sebagai Pengerusi ASEAN pada 2024. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan