Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan. Foto, Envato

Malaysia makin maju manfaatkan AI, syor kesedaran pengguna untuk pertingkat perlindungan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Semasa Malaysia melangkah maju dalam usaha transformasi digitalnya dengan mengguna pakai teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh langkah keselamatan siber, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

Ini terutamanya dalam meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna tentang amalan terbaik mengenai keselamatan siber.

Pengarah Penyelidikan di ManageEngine, Ramprakash Ramamoorthy berkata jika dibandingkan dengan landskap global, perniagaan di Malaysia masih di peringkat awal mengaplikasikan amalan keselamatan siber yang lasak.

“Sebenarnya, jika dibandingkan dengan landskap global, firma perniagaan Malaysia masih ketinggalan dalam mengambil serius akan keselamatan siber.

“Maksud saya, pasaran sedang berkembang pesat, tetapi masih banyak yang perlu dikejar, terutamanya dalam aspek menyedarkan pengguna tentang apa yang betul dan apa yang salah,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif yang diadakan menerusi Zoho Meeting baru-baru ini.

Ramprakash berkata satu kebimbangan yang ketara adalah kelaziman penipuan, seperti penipuan WhatsApp yang terkenal ‘hey mum’ yang melanda dunia pengguna.

Penipuan-penipuan itu mengeksploitasi tahap perlindungan yang agak rendah di alatan seperti video ‘deep fake’ dan penjana audio, membolehkan penjenayah siber menipu individu dengan mudah.

Beliau berkata keperluan untuk mendidik pengguna dalam mengenal pasti dan bertindak balas terhadap ancaman-ancaman ini semakin jelas dalam landskap yang berkembang secara digital.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramprakash berkata era pasca-pandemik membawa perubahan-perubahan ketara kepada landskap perniagaan.

Menurut beliau dengan pekerja semakin banyak bekerja dari rumah atau di luar dan pelanggan berinteraksi secara digital, kepentingan keselamatan siber telah beralih daripada bahagian operasi ke bilik lembaga pengarah.

“Firma perniagaan menyedari keperluan untuk melindungi aset digital dan menyediakan pengalaman digital yang selamat kepada pengguna akhir,” katanya.

Beliau juga memuji inisiatif kerajaan Malaysia dalam menggubal Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang dilihat sebagai langkah positif ke arah menggalakkan pendigitalan sambil memastikan perlindungan data.

Ramprakash, yang mengetuai usaha AI dan lejar digital terbuka (blockchain) untuk ManageEngine, berkata rangka kerja undang-undang ini selaras dengan landskap teknologi yang berkembang, menunjukkan komitmen Malaysia terhadap keselamatan siber.

Mengenai penggunaan model-model bahasa yang dikuasakan AI (LLM) dalam industri media iaitu ChatGPT, Ramprakash berkata walaupun ChatGPT menawarkan peningkatan produktiviti, organisasi-organisasi perlu berhati-hati dan menggunakan akaun-akaun organisasi masing-masing untuk mengurangkan potensi risiko yang berkaitan dengan kebocoran data.

Beliau juga memuji usaha bersepadu oleh kerajaan-kerajaan ASEAN untuk memberi keutamaan kepada keselamatan siber, sambil menambah pendirian proaktif yang diambil oleh pihak berkuasa serantau mencerminkan komitmen untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat.

“Terutamanya dengan ASEAN, perkara baiknya ialah saya melihat terdapat banyak usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan di rantau ini untuk memastikan amalan keselamatan siber dipandang serius.

“AI ada atau tidak, desakan daripada kerajaan untuk kekal selamat dengan keselamatan siber adalah perkembangan positif,” tambahnya.

ManageEngine, bahagian pengurusan teknologi maklumat (IT) perusahaan Zoho Corporation, pada Mei lepas mengumumkan rancangan bercita-cita tinggi untuk mencapai 30 peratus pertumbuhan tahunan dalam tempoh lima tahun akan datang melalui pelaburan strategik di Asia Tenggara.

Syarikat itu menyasarkan untuk memanfaatkan potensi rantau ini sebagai pasaran berkembang pesat dan membina asas pangkalan pelanggan sedia ada di lebih 5,000 organisasi-organisasi di rantau ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan