JAKARTA, 17 Nov: Empat juruterbang dalam insiden dua pesawat milik Tentera Udara Nasional Indonesia (TNI AU) yang terhempas di kawasan pergunungan dan padang di Keduwung, Pasuruan, Jawa Timur disahkan meninggal dunia.
Keempat-empat mangsa berjaya dipindahkan selepas usaha pemindahan dilakukan oleh pasukan pencari dan penyelamat meskipun berdepan dengan cuaca buruk dan keadaan lokasi yang curam.
Jurucakap TNI AU, Agung Sasongkojati berkata, pasukan penyiasat telah tiba ke lokasi nahas kedua-dua pesawat dan hasil siasatan awal ke atas insiden berkenaan berpunca cuaca buruk yang berlaku ketika itu hingga mengakibatkan jarak pandangan juruterbang terganggu.
“Pada masa ini disyaki dua pesawat terhempas akibat cuaca buruk menyebabkan jarak penglihatan juruterbang menjadi terhad dan mereka tidak dapat melihat cerun gunung sehingga nahas berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya telah menubuhkan pasukan penyiasat untuk melakukan siasatan serta mengenal pasti punca nahas dua pesawat pejuang taktikal itu.
Pasukan penyiasat juga memberi tumpuan untuk mencari perakam data penerbangan (FDR) dan mengenal pasti kelengkapan yang merupakan alat penyiasatan.
Mereka yang terkorban adalah Leftenan Kolonel Pnb Sandhra Gunawan dan Kolonel Adm Widiono, Mejar Pnb Yuda Anggara Seta dan Kolonel Pnb Subhan telah selamat dikebumikan hari ini. – TVS