Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Banun Ujan menggayakan selempang Burie dan mempamerkan Baju Burie buatannya di Expo NTFP Zon Tengah, di sini, hari ini. Foto: Odleen Catherny (TVS)

Suri rumah dari Kapit cipta corak baharu Pua Kumbu dan Baju Burie

ByOdleen Catherny

KUCHING, 16 Nov: Seorang suri rumah di Kapit membuktikan tanggungjawab menguruskan keluarga tidak menjadi halangan kepadanya untuk mempertahankan warisan bangsanya iaitu Pua Kumbu dan Baju Burie.

Banun Ujan, 43, mengambil inisiatif belajar menghasilkan pakaian kebanggaan kaum Iban itu daripada nenek dan ibunya.

Lebih menarik Banun berani bereksperimen apabila tidak menghasilkan motif yang biasa dijual di pasaran sebaliknya mencipta beberapa corak baharu.

“Saya fikir bagaimana hendak memastikan Pua Kumbu dan Baju Burie kekal relevan di pasaran. Oleh itu saya perlu tampil dengan corak yang berbeza,” katanya kepada TVS.

Kraf tangan manik jadi sumber pendapatan ibu tunggal

Banun merupakan salah seorang usahawan yang menyertai Expo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) anjuran Jabatan Hutan Sarawak, di Plaza Merdeka, di sini yang bermula 11 hingga 19 November ini.

Ditanya cabaran menghasilkan corak baharu, Banun tidak menafikan perkara itu bukan mudah.

“Corak, lukisan, jahitan dan tenunan semua idea sendiri dan memang penat fikir nak hasilkan corak bagaimana.

“Saya menggunakan masa lapang untuk buat hasilkan kraf ini, saya tidak mahu perniagaan ini kekal begitu sahaja sebaliknya perlu ada penambahbaikan supaya dapat dipertahankan untuk masa yang lama,” katanya.

Sejak menjual kraf itu pada 2009, Banun berkata, hasil jualan kini menjadi salah satu punca pendapatan untuk menyara keluarganya.

Sementara itu berbekalkan sikap tidak mudah berputus asa ketika belajar menghasilkan Baju Burie, Banun berkata, kemahirannya kini bertambah baik.

“Saya mampu siapkan sepasang Baju Burie dalam tempoh tiga hingga empat hari ketika ini,” jelasnya.

Mengenai jualan pula, Banun berkata, Baju Burie untuk kanak – kanak dan orang dewasa mula dijual pada harga RM280 sepasang.

“Bagi Pua Kumbu pula, saya jual ikut saiz, bermula RM150 hingga RM900,” katanya.

Dalam pada itu Banun turut menyuarakan harapan agar perniagaannya akan terus berkembang biarpun ketika ini hanya menjual secara kecil-kecilan di Kapit.

“Sebelum ini ada rakan peniaga yang membawa saya untuk menyertai kursus namun kekangan masa menjadi cabaran utama.

“Selepas ini kalau ada peluang, saya mahu menyertai kursus pemasaran agar perniagaan ini dapat dikembangkan,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan