SERIAN, 16 Nov: Sebanyak 34 daripada 80 projek pembangunan yang bernilai RM386.6 juta di bahagian Serian telah siap sepenuhnya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata daripada keseluruhan projek pembangunan, 12 projek di bawah peringkat pelaksanaan dan 30 projek lagi masih di peringkat perancangan manakala empat projek dikategorikan sebagai bukan fizikal.
“Ini bermakna kesemua 80 projek ini dapat dicapai (siap) pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri (SDCCM) di sini, hari ini.
Sementara itu mengenai bekalan air di bahagian Serian, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.03 bilion untuk tujuan tersebut juga di bawah RMK-12.
“Kami merasakan bahawa ada sesetengah projek yang tidak dapat disiapkan atas faktor kebolehcapaian. Ia mungkin tidak dapat disiapkan pada 2025 namun ia dapat disiapkan awal setahun atau dua tahun.
“Ini kerana banyak projek lain yang dilaksanakan di beberapa buah kampung dan untuk memastikan bekalan air ini sampai ke kawasan sasaran,” ujarnya.
Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri (SDCCM) yang diadakan pada hari ini merupakan mesyuarat yang kelima untuk 2023.
Mesyuarat sebelum ini diadakan di Kapit, Miri, Lawas dan Sibu. – TVS