ANKARA, 16 Nov: Dua pesawat yang membawa lebih 20 pesakit kanser dari Gaza selamat tiba di Turkiye awal pagi tadi bagi menjalankan rawatan lanjut, lapor AFP.
Menteri Kesihatan Turkiye, Fahrettin Koca berkata, seramai 27 pesakit yang majoriti kanak-kanak telah diterbangkan ke Turkiye dari Mesir, bersama 13 yang lain.
Menurutnya pesakit-pesakit berjaya dipindahkan susulan penyelarasan antara Turkiye, Mesir dan Israel.
“Turkiye juga sedang menunggu kebenaran Mesir untuk membuka hospital medan pertamanya di sempadan Rafah,” katanya.
Turkiye juga telah menghantar sebuah kapal dengan barangan perubatan untuk digunakan oleh hospital lapangan, ambulans dan generator ke Mesir bagi merawat orang awam yang terkesan dengan serangan tentera Israel.
Sementara itu, pejabat media kerajaan di Gaza memaklumkan angka kematian akibat serangan udara rejim zionis Israel ke aras Semenanjung Gaza meningkat kepada 11,500, sejak 7 Oktober lalu.
Sekurang-kurangnya 4,710 daripadanya terdiri daripada kanak-kanak dan 3,160 wanita.
Menurut kenyataan pejabat media itu, jumlah kematian membabitkan kakitangan perubatan mencecah sehingga 200 orang. -TVS