KUCHING, 16 Nov: Terima pakai pindaan dicadangkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Sarawak perlu melalui pindaan undang-undang berkaitan hutan dan membabitkan perbincangan di pelbagai peringkat negeri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata Kerajaan Sarawak menyokong pindaan yang dibuat di peringkat Persekutuan jika tidak bercanggah dengan undang-undang negeri.
“Undang-undang yang digubal di peringkat Parlimen yang tidak disokong oleh kerajaan negeri, kita tidak dapat jamin pindaannya,” katanya ditemui selepas Majlis Hari Integriti Sarawak Forestry Corporation (SFC) 2023 di sini, hari ini.
Semua kerajaan negeri diminta memberikan sokongan dengan menerima pakai keseluruhan pindaan dicadangkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang telah dilulus dan diwarta di peringkat Persekutuan pada September tahun lalu sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.
Sehubungan itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan dalam pindaan tersebut adalah memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Len Talif berkata lagi, Kerajaan Sarawak mempunyai bidang kuasa terhadap undang-undang melibatkan tanah Sarawak, termasuk undang-undang perhutanan dari segi perlindungan alam sekitar.
“Dari segi undang-undang perhutanan negara adalah berdasarkan prinsip, undang-undang negeri akan mempunyai lebih kuasa. Ini tertakluk dengan polisi yang melibatkan perhutanan, perlindungan hidupan liar dan taman negara dan sebagainya,” katanya. – TVS