KUALA LUMPUR, 16 Nov: Kerajaan menggalakkan syarikat penerbangan menawarkan penerbangan tengah malam ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan itu merupakan antara langkah intervensi bagi menangani masalah harga tiket penerbangan ke Borneo yang mahal.
Lebih 17,000 tiket penerbangan sehala ke Sabah, Sarawak ditawar pada harga maksimum RM300 – Loke
“Antara yang dilakukan misalnya setiap musim perayaan, kita galakan syarikat penerbangan melakukan penerbangan pada tengah malam dan ini akan diteruskan untuk musim-musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Anthony memaklumkan, beberapa langkah lain turut dilakukan seperti menambah kekerapan penerbangan dan memperkenalkan tambang murah bermusim bagi kedua-dua laluan terbabit dengan persetujuan syarikat penerbangan.
Namun katanya kerajaan tidak akan menetapkan harga siling atas beberapa faktor.
“Kerajaan tidak berhasrat untuk menetapkan harga siling kerana jika berbuat demikian, syarikat penerbangan tidak ada motivasi dan menyebabkan mereka mengurangkan kekerapan penerbangan.
“(Selain itu jika) kita menetapkan harga siling pada waktu puncak, mungkin harga akan meningkat. Penetapan harga siling akan menyebabkan tiket yang biasanya murah akan menjadi lebih tinggi,” tambahnya. -TVS