KUALA LUMPUR, 16 Nov: Kerajaan bersetuju mempertimbangkan pemberian tunai khas secara bulanan kepada isi rumah yang tidak berkemampuan bagi meringankan beban kewangan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata ia termasuk golongan yang tidak produktif bagi memastikan mereka keluar dari golongan miskin tegar.
“Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 6 Nov 2023 juga bersetuju supaya semua agensi mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program-program yang telah disediakan kerajaan dalam tempoh berbaki dua bulan sebelum akhir 2023 dan diserapkan ke dalam program yang ditawarkan mengikut kesesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, Kerajaan Persekutuan terus beriltizam untuk menoktahkan kemiskinan tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah melalui pendekatan bersifat jangka masa pendek dan sederhana.
“Ini termasuk menerusi pendekatan terbaharu yang memberi penekanan keupayaan menjana pendapatan tambahan secara mampan,” katanya. – TVS