BINTULU, 16 Nov: Mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam sebuah longkang berhampiran Sekolah Kebangsaan St. Anthony dekat sini pada Rabu belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat oleh orang awam pada 12.45 tengah hari bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri dijumpai pada badan mangsa.
“Mangsa dipercayai jatuh tergelincir ke dalam longkang dan mengalami hentakan di kepala ketika cuba melintasi longkang besar tersebut yang setinggi dua meter semasa menggunakan papan kecil untuk menyeberangi longkang tersebut,” jelasnya.
Ujarnya, pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Jika ada pihak yang kehilangan ahli keluarga, boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Ahmad Amir Youb Bahari di talian 013-5653756 atau bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304. – TVS