KUCHING, 16 Nov: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan nilai dianggarkan lebih RM1.2 juta.
Pengarah JKDM Sarawak, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan seberat 20.336 kilogram (kg) itu dilakukan pada 3 November lalu.
“Rampasan dilakukan apabila sebuah bagasi yang tidak dituntut telah disita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
“Bagasi itu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Ujar beliau, JKDM Sarawak kini sedang mengesan pemilik bagasi tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Sementara itu beliau memberitahu, pada hari sama, dua lelaki tempatan ditahan di LTAK kerana membawa dua bagasi yang menunjukkan tanda positif bahan narkotik.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 14 paket yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 14.178 kg yang bernilai RM497,600.
“Suspek yang masing – masing berumur 28 dan 32 tahun itu dipercayai mengambil upah sebagai ‘rider’ untuk membawa dadah berkenaan ke sini,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Majistret Kuching telah mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula 4 November lepas terhadap kedua – dua suspek.
“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, dianggarkan seramai 70,890 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.
Katanya, suspek menggunakan modus operandi sama bagi kedua – dua cubaan menyeludup masuk dadah itu iaitu dengan dibungkus menggunakan bungkusan serbuk minuman dan cetakan imej ikan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Taufik memaklumkan, sejak Januari hingga Oktober 2023, JKDM Sarawak telah merekodkan rampasan 212.446 kg pelbagai jenis dadah bernilai RM4,655,854. -TVS