Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kertinah Abdul Karim bersama ahli PPWS yang berkunjung ke tempat tenunan Songket Jong Saratnya di Limbang, baru-baru ini. Foto: TVS

Songket Jong Sarat bernilai tinggi dan eksklusif, tenunan berasal dari Brunei

LIMBANG, 15 Nov: Jika rakan seusianya menikmati zaman muda keluar bersama rakan, Kertinah Abdul Karim ketika berusia 20 tahun lebih gemar ‘bermain benang’ menenun Songket Jong Sarat dek minat mendalam terhadap seni warisan Melayu itu.

Mewarisi seni menenun Songket Jong Sarat dari ibu saudaranya, Kertinah yang kini berusia 49 tahun mahir menguasai kemahiran tenunan songket menggunakan kain jong sarat, seni tenunan yang berasal dari Brunei Darussalam.

Kertinah menunjukkan cara menenun Songket Jong Sarat kepada anak perempuannya. Foto:TVS

Bermodalkan RM5,000 ketika mula-mula berkecimpung dalam tenunan songket, kini beliau memiliki tempat menenun Songket Jong Sarat secara tradisional di kediamannya di Perumahan RPR Rangau.

Jelasnya, beliau mahu terus mengekalkan pembuatan songket tenun secara tradisional kerana warisan ini perlu dipelihara selain permintaan memberangsangkan bukan saja di Limbang malah di Brunei, Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

Kain Songket Jong Sarat yang dihasilkan. Foto:TVS

“Saya bekerja sambil belajar tenunan Songket Jong Sarat sejak berusia 20 tahun, daripada emak saudara, mencari modal sendiri untuk mengusahakan tenunan tersebut bermula dari awal hinggalah sekarang,” katanya.

Kertinah berkata demikian ketika ditemui media di kediamannya pada lawatan sambil belajar Persekutuan Perkumpulan Wanita (PPWS) Rangau ke Tenunan Songket Jong Sarat miliknya hari ini.

Kertinah turut menunjukkan cara menenun Songket Jong Sarat kepada ahli PPWS Rangau. Foto: TVS

Turut hadir ialah Pengerusi PPWS Rangau, Normeryini Izzati dan ahli-ahli lain.

Kertinah yang juga ahli PPWS Rangau menjelaskan kerja penenunan songket membabitkan proses rumit serta memerlukan kepakaran, minat dan kesabaran tinggi.

Jelasnya, sambutan terhadap tenunan Songket Jong Sarat mendapat permintaan tinggi terutama selepas COVID-19.

Katanya, tenunan Songket Jong Sarat adalah salah satu reka bentuk yang tertua dan paling popular.

Katanya, jenis kain ini adalah antara kain yang mudah untuk ditenun kerana ia hanya menggunakan satu warna bagi tanah atau badan kain, manakala benang emas atau perak digunakan bagi membentuk motif.

Terdapat pelbagai jenis motif yang digunakan untuk menghiasi kain jong sarat seperti jong sarat bunga bersusun bersinar-sinar, jong sarat bunga batu berkait, jong sarat bunga padi dan jong sarat bunga melati.

Jelas Kertinah, mengikut adat resam Melayu Brunei, kain Jong Sarat boleh digunakan sebagai kain perhiasan untuk dipakai wanita ketika malam berbedak dan berinai semasa perkahwinan atau dijadikan barang hantaran.

Menurut sejarah, asal perkataan Jong itu mempunyai makna perahu dan sarat bererti penuh.

Istilah Jong Sarat ini dikatakan dicipta bagi merujuk kain ini kerana penampilannya seperti perahu yang penuh.

Kualiti dan ketelitian dalam proses penghasilannya, begitu juga bahan buatannya menjadikan Songket Jong Sarat yang merupakan hasil tangannya menambat pelanggan luar untuk dijadikan koleksi tenunan berharga dan istimewa.

Menampilkan corak bermotifkan keindahan warisan alam semula jadi menyebabkan satu Songket Jong Sarat boleh mencecah harga ribuan ringgit, lebih-lebih lagi yang dihasilkan secara edisi terhad.

“Harga satu kain mencecah RM1,500 sehinggalah RM5,000 mengikut motif yang dikehendaki oleh pelanggan dan mengambil masa disiapkan dalam sebulan, setiap kain ada corak dan motif tersendiri,” ujarnya.

Kertinah menjelaskan lagi, selain menenun untuk memenuhi tempahan pelanggan, Songket Jong Sarat yang dihasilkan juga ditempah sebagai antara produk yang dipamerkan di Galeri Permaisuri Agong di Kuching.

Katanya, penghasilan Songket Jong Sarat menggunakan benang emas yang ditempah khas dari Brunei dan Terengganu menyebabkan penghasilannya begitu eksklusif dengan kos RM400 hingga RM500 setiap gulung benang untuk satu kain.

Beliau yang mengusahakan tenunan Songket Jong Sarat di rumahnya, berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan termasuk menyediakan tempat atau pusat tenunan songket khas dalam mengangkat songket tempatan ke tahap lebih tinggi lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan