KUCHING, 15 Nov: Sarawak mempunyai 1,665 bekas telaga minyak untuk diusahakan sebagai pusat penyimpanan karbon sejajar dengan agenda ekonomi hijau.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, ia mempunyai kapasiti menyimpan karbon sekurang-kurangnya sembilan bilion tan.
Angka itu menurutnya jauh lebih tinggi berbanding kapasiti penyimpanan karbon di hutan Sarawak iaitu antara 750,000 juta hingga satu bilion tan.
“Itu adalah angka yang sangat penting kerana berbanding dengan angka lain yang membolehkan kita menyimpan karbon di dalam telaga minyak yang telah habis,” katanya berucap pada majlis perasmian Persidangan Alam Sekitar Borneo (BEnConf) 2023 di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, jumlah itu belum termasuk kapasiti akuifer (lapisan batu telap) pesisir yang juga boleh menyimpan karbon.
Projek penyimpanan karbon berkenaan mampu mengimbangi pelepasan karbon di wilayah berkenaan di samping sasarannya mengurangkan sejumlah 600,000 tan pelepasan karbon yang pada masa sama menjana pendapatan negeri melalui ekonomi hijau. – TVS