KUCHING, 15 Nov: Sejak kecil, Nur Izzati Neruddin sudah biasa melihat ibu bapanya ‘bermandi peluh’ untuk menghasilkan garam apong.
Cerita remaja berusia 19 tahun itu, proses berkenaan tidak mudah, malah boleh memakan masa sehari suntuk.
Tamat persekolahan, Nur Izzati berkata, dia nekad ‘menyinsing lengan’ bagi membantu keluarganya.
“Sebenarnya, ini merupakan perniagaan warisan yang dimulakan oleh nenek saya pada tahun 1945 di Kampung Penat, Mukah.
“Selepas itu diambil alih oleh ibu saya dan kini tibalah masa untuk saya pula terlibat menguruskan perniagaan ini,” katanya kepada TVS.
Nur Izzati merupakan salah seorang usahawan yang menyertai Expo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) anjuran Jabatan Hutan Sarawak.
NFTP berlangsung di Plaza Merdeka bermula 11 hingga 19 November ini.
Bercerita lanjut mengenai penghasilan garam berkenaan, Nur Izzati berkata, prosesnya sangat rumit kerana dilakukan secara tradisional.
Jualan kraf tangan mampu cecah RM1,000 sehari
“Kami menggunakan nipah yang perlu dibakar hingga menjadi abu, kemudian ditapis pula dengan air laut.
“Tidak tamat di situ, selepas ditapis, ia perlu disalut dengan tanah liar dan kemudian dibakar lagi sehingga 12 jam supaya teksturnya menjadi seperti batu bata,” jelasnya.
Kata Nur Izzati, selepas itu proses pembungkusan akan dilakukan namun perlu berhati- hati bagi memastikan kualitinya tidak terjejas.
Ditanya tentang cabaran lain yang dihadapi demi meneruskan legasi perniagaan berkenaan, Nuru Izzati memberitahu, mereka tidak mempunyai pekerja dan semua proses yang dinyatakan tadi dilakukan bersama dengan adik beradiknya yang lain.
“Ya, memang penat namun segala usaha kami berbaloi apabila garam apong yang dihasilkan laku di pasaran.
“Ada kalanya ketika menyertai ekspo seperti NFTP ini, kami berjaya meraih jualan melebihi RM1,000 sehari,” katanya.
Ditanya tentang keistimewaan garam apong berbanding garam lain, Nur Izzati berkata, garam itu berbeza kerana menggunakan pokok nipah sebagai bahan utama penghasilan.
“Biasanya garam ini menjadi pilihan wanita yang masih berpantang selepas melahirkan anak.
“Selain itu, garam ini juga boleh dimakan dengan bubur kosong atau buah – buahan yang masam,” katanya. -TVS