KUALA LUMPUR, 15 Nov: Kementerian Pertahanan akan memanfaatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ini kerana mereka mempunyai pengalaman dalam bidang ketenteraan.
“Selain itu (mereka) memiliki kemahiran khusus dalam bidang tertentu yang boleh dikongsikan (bersama peserta PLKN) semasa program itu berlangsung,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (Pakatan Harapan-Batu Pahat) pada Sidang Parlimen hari ini.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 namun akan menggunakan kaedah latihan berbeza.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antara pebezaannya, peserta PLKN akan menjalani latihan di 13 kem tentera Wataniah untuk latihan selama 45 hari.
Sementara itu, Adly menambah, pengalaman dimiliki veteran ATM juga boleh dimanfaatkan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksanakan aktiviti bersesuai. -TVS