KUALA LUMPUR, 15 Nov: Kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan isu lambakan rumah tidak terjual dapat diatasi.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini kerana laporan Pusat Maklumat Harta Tanah bagi data awalan suku kedua tahun 2023 menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus dari segi jumlah unit dan penurunan sebanyak 0.6 peratus dari segi nilai berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Pertama melaksanakan pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperoleh daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.
“Kaedah ini mengambil kira median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median (median multiple).
“Pemetaan ini sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan atau Feasibility Study sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual.
“Kita juga sedang membangunkan Sistem Analitis Data Raya (Big Data Analaytics) Perumahan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan,” katanya lagi.
Terdahulu, Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) bertanya mengenai usaha kerajaan mengatasi isu hartanah tidak terjual yang berpunca daripada ketidaksepadanan nilai hartanah dibina dengan kemampuan pemilikan rakyat. -TVS